PRU14: Manifesto Khusus Untuk Kelantan

UMNO Kelantan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyediakan manifesto Barisan Nasional (BN) khusus bagi negeri Kelantan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan komitmen BN dalam memajukan Kelantan.

“Manifesto itu merupakan janji pihak kami (BN) kepada rakyat Kelantan. Walaupun kalah pada PRU13, tetapi kami mampu melaksanakan berberapa perkara untuk rakyat di Kelantan.

“Terutamanya berkaitan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang tidak termasuk dalam manifesto PRU13,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Dikir Barat Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Dataran Bukit Bunga di Jeli malam tadi.

Mustapa berkata, jawatankuasa tersebut akan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan pandangan masing-masing untuk diteliti dan kemudian dimasukkan ke dalam manifesto tersebut.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada soal pembangunan tanah, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan pemeliharaan alam sekitar di Kelantan.

“Ia (Manisfesto) dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya. – 20 April 2017.