SPRM Panggil Shafie Apdal Jika Perlu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung isu pembelian pangsapuri oleh Mara Incorporated Sdn. Bhd. (Mara Inc) di Australia, sekiranya perlu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, dalam menjalankan siasatan, sesiapa sahaja boleh dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk bekas menteri itu.

“Kita akan lihat keperluan, kalau perlu, kita panggil, kalau tidak, tidak panggil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan lafaz Ikrar Bebas Rasuah peringkat kerajaan negeri Johor yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama-sama sembilan Exco di Pejabat Menteri Besar hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Shafie menyatakan kesediaannya untuk disiasat oleh SPRM berhubung isu berkenaan.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki memberitahu, setakat ini sebanyak 24 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, pihaknya turut menjalankan siasatan meliputi lebih tujuh premis termasuk pejabat Mara Inc, pejabat peguam serta pejabat penilai hartanah setelah memperoleh maklumat baharu berkaitan pembelian hartanah tersebut. – 20 April 2017.