Tengku Iskandar Didakwa Guna Gelaran Dan Lambang Kerabat Diraja Long Yunus

Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas dua tuduhan menggunakan gelaran dan lambang Kerabat Diraja Long Yunus.

Tertuduh, Tengku Iskandar Tengku Ahmad, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Tengku Iskandar didakwa tanpa kebenaran daripada Sultan Kelantan menggunakan gelaran Yang Maha Mulia pada surat kuasa bertarikh 31 Ogos 2014, yang ditandatangi olehnya dengan nama Yang Maha Mulia Tengku Iskandar Tengku Ahmad Panglima Raja.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Syarikat DU Tyre Sdn. Bhd., Nombor 27, Jalan SS21/1A Damansara Utama, pada jam 3 petang, 31 Ogos 2014.

Tengku Iskandar turut didakwa bertindak bagi pihak Kerabat Diraja Long Yunus dengan menandatangani surat kuasa bertarikh 31 Ogos 2014 dengan kepala surat berlambang Pertubuhan Kerabat Diraja Long Yunus bagi membenarkan penama, Chai Kok Leong, 51, mengendalikan kenderaan Mercedes Benz, nombor pendaftaran WA 45 J yang turut tertera lambang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, tarikh serta masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes. – 20 April 2017.