JAKIM Salur Bantuan RM10,000 Kepada Pondok Permatang Sungkai

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk kerja-kerja pembersihan kawasan Madrasah Ilmiah Pondok Sri Permai, Permatang Sungkai Pasir Puteh yang terlibat dalam kebakaran baru-baru ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan tersebut bagi meringankan beban pihak madrasah melakukan kerja-kerja berkaitan selepas 10 buah pondoknya hangus dalam kejadian tersebut.

Ketika melakukan tinjauan  di lokasi kejadian hari ini, Asyraf menekankan aspek keselamatan dan sistem pembinaan pondok perlu dilaksanakan mengikut piawaian yang lebih selamat bagi menjamin keselesaan penghuninya.

“Kerjasama pengurusan pondok dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau mana-mana agensi yang boleh membantu dalam aspek keselamatan kebakaran amat diperlukan,” katanya.

Dalam kejadian tersebut baru-baru ini sebanyak 10 pondok di madrasah berkenaan hangus terbakar.

Sementara itu, Mudir pondok berkenaan, Irfan Abdul Hamid berkata, bantuan tersebut juga akan digunakan untuk membina pondok baharu.

Katanya, pihak pondok juga turut menerima sumbangan orang ramai dan bantuan tahunan daripada Kerajaan Persekutan.

“Tahun lepas kita menerima bantuan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM275,000 yang membolehkan pondok ini meneruskan kesinambungan pengajian tahfiz secara pondok dengan membabitkan pelajar dari seluruh negara,” katanya. – 21 April 2017.