Mohd. Amar Bidas Husam

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membidas Datuk Husam Musa yang disifatkan ketandusan isu apabila mempertikaikan peraturan supaya peniaga pasar malam di Kelantan menghentikan perniagaan ketika azan Maghrib.

Beliau berkata, peraturan tersebut sudah diperkenal sejak sekian lama ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar termasuk Husam sendiri yang masih berada dalam kepemimpinan kerajaan negeri pada masa itu.

Katanya, tidak ada sebab Naib Presiden PAN itu mempersoalkan peraturan tersebut memandangkan kerajaan negeri hanya memperkasakan dasar dan penguatkuasaan sedia ada.

“Kita lihat peraturan tersebut mendapat sambutan positif termasuk masyarakat bukan Islam. Orang Islam sendiri tidak mempersoalkannya.

“Bagi saya, tindakan itu (Husam) lebih kepada kepentingan politik. Boleh jadi dia cuba mengail sokongan daripada orang Cina. Tapi kita lihat orang Cina di Kelantan positif berhubung peraturan tersebut,” katanya selepas melancarkan kempen membuka sekatan ke atas Gaza hari ini.

Sebelum ini, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor mempersoal arahan kerajaan negeri yang mengenakan peraturan tersebut kepada peniaga bukan Islam sedangkan mereka tidak terlibat dengan solat Maghrib. – 21 April 2017.