PAS Kekal Tidak Bekerjasama Dengan Pakatan Harapan

PAS kekal dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dan mengadakan sebarang perbincangan dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut
sudah jelas dan sama sekali tidak akan dibincangkan pada Muktamar Tahunan
parti itu di Kedah, akhir bulan ini.

Sebaliknya Mohd. Amar berkata, status hubungan tahaluf siyasi dengan PKR
selain persediaan PAS menghadapi PRU-14 adalah perkara utama yang bakal
dibangkitkan pada muktamar nanti.

“Berdasarkan keadaan semasa, dua isu tersebut dilihat menjadi keutamaan
khususnya melibatkan status hubungan dengan PKR apabila mendapat desakan akar umbi supaya kerjasama tersebut diputuskan.

“Yang kedua, apabila PRU-14 diramal akan berlangsung pada tahun ini, sudah
tentu menjadi fokus perwakilan pada muktamar untuk berbahas mengenainya.

“Jadi dua isu ini sahaja yang dilihat besar, yang lain tiada,” katanya
selepas melancarkan kempen membuka sekatan ke atas Gaza di Medan Ilmu, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada muktamar untuk menentukan sama ada PAS terus berkerjasama dengan PKR atau sebaliknya. – 21 April2017.