Samun Buruh: Dua Anggota Polis Ditahan

Dua anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal serta seorang lelaki diberkas selepas menyamun seorang buruh yang bermalam di sebuah hotel di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu pada 15 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun telah disamun oleh ketiga-tiga suspek berkenaan yang melarikan wang tunai berjumlah RM2,000 dan telefon bimbit miliknya.

Menurut Ketua Cawangan Khas Kelantan, Asisten Komisioner Abdul Basir Ahmad, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua anggota polis berkenaan telah membuat pemeriksaan di hotel tersebut sebelum membawa mangsa keluar dari bilik.

Katanya, mangsa kemudian telah dibawa ke sebuah lokasi lain sebelum disamun oleh suspek.

“Selepas menyamun, suspek telah menghantar semula mangsa ke hotel terbabit. Mangsa yang binggung selain tidak berpuas hati dengan tindakan polis tersebut kemudian telah membuat laporan sehari selepas kejadian berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Basir memberitahu, kesemua suspek tersebut yang ditahan dua hari selepas kejadian itu kini direman selama seminggu bagi membantu siastaan kes mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Basir memberitahu, polis telah mengenal pasti cap jari suspek yang terlibat dalam kes menceroboh pejabat Menteri Besar dalam kejadian minggu lalu.

Menurutnya, imej suspek yang berusia 39 tahun dan memiliki 13 rekod jenayah itu dikesan masih berada di sekitar daerah ini dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat berdasarkan bukti-bukti yang diperoleh pihaknya. 21 April 2017.