SPRM Terima Senarai Pemain, Pengadil Untuk Pemantauan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima senarai nama pemain, pengadil dan pihak lain yang terlibat dalam industri bola sepak negara untuk pemantauan suruhanjaya itu.

Turut disenaraikan adalah pegawai pasukan dan kakitangan di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut SPRM dalam kenyataannya, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, meminta suruhanjaya itu memastikan sukan bola sepak negara bebas rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM akan memberi sokongan serta komitmen penuh untuk memastikan sukan bola sepak negara yang melibatkan pemain, pengadil perlawanan serta pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM juga yakin dengan kepimpinan dan kewibawaan Tunku Ismail dalam menerajui FAM, yang pastinya akan membawa perubahan dan kegemilangan kepada pembangunan sukan bola sepak negara,” kata kenyataan itu.

Isu rasuah membabitkan industri bola sepak negara menjadi hangat apabila beberapa pemain dan ‘bookie’ ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengatur perlawanan Liga Perdana.

Baru-baru ini, seorang ‘bookie’ berusia 49 tahun ditahan bersama tiga pemain bola sepak kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) bagi membantu siasatan kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Tiga pemain 26 hingga 29 tahun termasuk seorang pemain import sebelum ini turut direman tujuh hari bermula 6 April lalu bagi membantu siasatan mengambil suapan daripada bookie berkenaan tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Difahamkan, bookie berkenaan menawarkan RM10,000 hingga RM30,00 kepada pemain MISC-MIFA sebagai habuan bagi menentukan keputusan perlawanan. – 21 April 2017.