Kelantan International Half Marathon Dijadikan Acara Tahunan

Kelantan International Half Marathon akan dijadikan sebagai acara tahunan di Kelantan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, penganjuran julung-julung kalinya acara tersebut di Kelantan mendapat sambutan yang cukup hebat apabila menarik lebih 9,000 penyertaan termasuk melibatkan pelari profesional dari beberapa negara luar.

“Acara besar seperti ini kita akan bawa ke setiap negeri. Semua negeri ada larian peringkat antarabangsa termasuk Perlis. Hanya Kelantan tidak pernah menganjurkan acara tersebut sebelum ini.

“Dua tahun lalu saya ada berjanji untuk mengadakan acara ini di Kelantan dan hari ini telah ditunaikan. Melihat kepada sambutan yang cukup hebat, maka kita teruskan acara ini di Kelantan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya selepas merasmikan acara tersebut di Pusat Tranformasi Bandar (RTC) Tunjong hari ini.

Pelepasan larian membabitkan empat kategori iaitu 21 kilometer (km), 10 km, lima km dan tiga km itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menyertai dan menamatkan larian bagi kategori tiga km.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya akan terus memberi komitmen untuk melihat acara ini terus diadakan. – 22 April 2017.