Nelydia Senrose Dikenakan Waran Tangkap

Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon Nelydia Senrose kerana tidak hadir bagi menghadapi tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Nelydia gagal mengemukakan Borang B bagi lima tahun taksiran iaitu tahun taksiran bermula 2009 hingga 2013.

Nelydia, atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 23, turut berhadapan dengan pertuduhan gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 ACP1967 bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDNM.

Peguam LHDN, Nurulsheeda Mohd. Yahaya memohon perintah waran tangkap dikeluarkan terhadap Nelydia selepas gagal hadir sesi sebutan kes pada 12 April lalu.

Saman dikeluarkan terhadap tertuduh pada 11 April.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Majistret P. Sarulatha menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh baharu sebutan kes berkenaan. – 22 April 2017.