Nelydia Tunjuk Bukti Bayaran LHDN

Pelakon popular Nelydia Senrose mengemukakan bukti resit pembayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang telah dibuatnya 4 April lalu.

Pendedahan itu dibuat susulan waran tangkap dikenakan ke atasnya selepas dikatakan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) LHDN.

Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 23, mendedahkan bukti pembayaran itu menerusi laman sosial Instagramnya malam tadi.

“Ini resit pembayaran cukai pendapatan bertarikh 4 haribulan April 2017,” tulisnya yang kini difahamkan berada di luar negara.

Menerusi resit tersebut, pembayaran cukai pendapatan itu dibuat bagi tahun 2013 melalui cek.

Semalam, pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu dilaporkan tidak hadir bagi menghadapi tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) LHDN.

Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Nelydia gagal mengemukakan Borang B bagi lima tahun taksiran iaitu tahun taksiran bermula 2009 hingga 2013.

Selain itu Nelydia, turut berhadapan satu lagi pertuduhan kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 81 ACP1967 bagi mengemukakan maklumat secara lisan kepada LHDNM. – 22 April 2017.