Isu Politik Nasional Main Peranan PRU14 Di Kelantan

Isu politik nasional memainkan peranan penting dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kelantan, kata Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO negeri itu juga tidak menolak peranan isu politik tempatan.

“Kelantan sangat bergantung kepada isu politik nasional kerana apabila politik nasional tidak stabil, kita (Kelantan) akan terkena kesan yang sangat besar.

“Ini berlaku kerana pengundi kita ramai berada di luar negeri seperti di Lembah Klang, oleh itu, suasana di Kuala Lumpur akan mempengaruhi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Jasamu Dikenang 2016 Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hari ini.

Dalam pada itu, Md. Alwi turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kekalahan UMNO di Kelantan sejak tiga dekad yang lalu disebabkan oleh perpecahan sesama sendiri.

“Apa yang dikatakan oleh TPM itu betul, namun kita tidak boleh melihat perkara itu sahaja tetapi perlu melihat secara menyeluruh.

“Semua pihak perlu bersama-sama meningkatkan politik nasional dan mudah-mudahan ia boleh mengubah pemikiran rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid hari ini dilaporkan berkata, kekalahan UMNO di Kelantan sejak tiga dekad yang lalu disebabkan perpecahan sesama sendiri.

Justeru, beliau menyeru kepimpinan UMNO negeri itu mengukuhkan kedudukan dengan melupakan sengketa sesama sendiri sekali gus menawan kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

“Bersatu hatilah, bagi memastikan gelombang merah dapat membirukan Kelantan.

“Kekalahan kita tiga dekad ini bukan kerana kelemahan atau kita tidak kuat tetapi kerana perpecahan sesama kita ,” katanya.

Beliau turut menamakan, Mustapa sebagai tokoh paling sesuai untuk menerajui kepemimpinan bagi menawan semula Kelantan pada PRU akan datang.

Katanya, Mustapa adalah contoh pemimpin yang terbaik dari Kelantan yang disenangi semua pihak.

“Inilah masa yang sesuai… siapa lagi jika bukan Tok Pa. Beliau yang paling sesuai dan ramai kepemimpinan yang lain boleh terus memberikan sokongan,” katanya. – 23 April 2017.