Jeli Bersih Dan Indah

Kerajaan Persekutuan dan negeri sedia bekerjasama mengubah wajah Jeli menjadi bandar bersih dan indah dalam usaha menjana peluang ekonomi setempat yang berimpak tinggi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian dan perancangan mengenainya akan diteliti secara terperinci bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.

Katanya, semua agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri akan digembleng secara bersepadu dalam merealisasikan matlamat tersebut.

“Baru-baru ini agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menyumbang peruntukan RM10,000 kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli bagi mengindahkan bandar.

“Kira-kira 2,500 pokok pelbagai spesies menarik disumbangkan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk ditanam di sekitar bandar Jeli,” katanya selepas merasmikan pengindahan landskap masjid Sultan Muhammad 1, bandar Jeli hari ini.

Hadir sama, Ketua Jajahan Jeli, Zulkifli Abdul Rahman dan wakil dari pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa memberitahu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM1.2 juta bagi kerja menaik taraf masjid Sultan Muhammad 1.

“Ia selaras dengan status masjid bandar Jeli selain memenuhi peningkatan penduduk yang semakin bertambah,” katanya. – 23 April 2017.