Kerajaan Pandang Serius Isu Alam Sekitar

Kerajaan memandang serius cadangan kebanyakkan golongan belia yang menyuarakan aspirasi mengenai kepentingan memelihara flora dan fauna agar tidak memberi kesan kepada alam sekitar pada masa depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan tersebut antara yang paling tinggi dibangkitkan golongan berkenaan dalam sesi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pihaknya akan mencari kaedah terbaik menyelesaikannya.

“Aspirasi menjaga alam sekitar antara paling popular disuarakan dan kita akan bermula daripada sekarang dalam usaha membentuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar.

“Kita juga bercadang memperkenalkan kukurikulum berkaitan kepentingan menjaga kebersihan bermula di tadika. Kita mahu kebersihan ini sebati dengan diri sejak di peringkat awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab cadangan seorang peserta dalam program dialog TN50 peringkat negeri Kelantan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta golongan belia mengikuti sesi dialog yang berlangsung kira-kira dua jam itu.

Selain Khairy, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub hadir selaku moderator bagi menjawab segala cadangan atau soalan yang dibangkitkan para peserta. – 23 April 2017.