Ladang Rakyat, Tanah Adat Kemenangan Untuk Orang Asli

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengiktiraf kawasan seluas 9361.5 hektar di Pos Belatim yang sebahagiannya dibangunkan oleh Kerajaan PAS Kelantan untuk projek Ladang Rakyat sebagai tanah adat Orang Asli.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz pada prosiding semakan kehakiman berkaitan kes yang berlarutan sejak enam tahun itu.

Permohonan semakan kehakiman itu dibuat oleh Rosli Along, Angah Along dan Hassan Alang yang mewakili penduduk Orang Asli Pos Belatim dengan menamakan kerajaan PAS Kelantan dan Pengarah Tanah dan Galian negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Pada prosiding itu, pemohon diwakili oleh peguam, Lim Heng Seng; S. Yogeswaran; M. Rajkuman dan Tan Hooi Ping manakala reponden diwakili Penolong Penasihat Undang-undang negeri Kelantan, Nazlyza Mohd. Nazri.

Dalam permohonan tersebut, penduduk Orang Asli Pos Belatim memohon suatu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri yang memberikan sebahagian tanah yang diduduki Orang Asli di Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang bagi pembangunan Ladang Rakyat.

Ketika membuat keputusan tersebut, Zainal Azman berkata, kerajaan negeri sebelum ini jelas telah mengiktiraf hak Orang Asli di negara ini dan pihaknya membenarkan permohonan yang dilakukan oleh pemohon.

Dalam masa sama beliau turut mengarahkan pihak responden membayar kos RM50,000 sebagai kos untuk prosiding semakan kehakiman

“Kawasan hutan ini macam supermarket (pasar raya) dan farmasi kepada penduduk Orang Asli. Mahkamah mengeluarkan satu perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan negeri untuk membangunkan Ladang Rakyat,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 90 orang penduduk Orang Asli dari Gua Musang turut hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes yang difailkan pada tahun 2011 itu. – 23 April 2017,