Langkah Tepat Cegah Rasuah Dalam Bola

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memuji tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau pemain, pengadil dan pegawai pasukan yang terlibat dalam bola Malaysia.

Khairy berkata, tindakan Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu merupakan langkah yang cukup tepat bagi mengelakkan sukan no-1 negara itu dicemarkan dengan budaya rasuah serta perbuatan mengatur perlawanan.

Dalam masa sama beliau juga yakin langkah proaktif daripada FAM itu akan membantu meningkatkan imej bola sepak negara.

“Itu (hantar senarai kepada SPRM) merupakan langkah yang baik iaitu tidak menunggu siasatan tetapi mengambil langkah awal supaya SPRM dapat membuat pemantauan dan siasatan awal terhadap mereka yang dalam perhatian,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail menyerahkan senarai nama peribadi pemain, pengadil dan pegawai pasukan yang dalam perhatian kepada SPRM selain meminta agensi tersebut memantau rapi mereka yang terlibat.

Senarai itu diserahkan oleh Tunku Ismail kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang melakukan kunjungan hormat ke atasnya di Johor Bahru.

Dalam pertemuan tersebut, Tunku Ismail turut meminta supaya SPRM membantu memastikan arena bola sepak negara bersih serta bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salah guna kuasa.

Baru-baru ini, arena bola sepak negara tempatan dihangatkan dengan isu rasuah apabila tiga pemain dari kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dan seorang bookie berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes mengatur perlawanan Liga Perdana.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai adakah persatuan sukan lain akan mengambil langkah sama seperti FAM, Khairy memberitahu, rata-rata badan sukan di negara ini telah melakukan ikrar bebas rasuah dalam program yang diadakan bersama SPRM baru-baru ini.

“Melalui program tersebut, kita telah menghantar isyarat tegas kepada persatuan sukan supaya tidak terlibat dengan rasuah. Tidak ada siapa yang dilindungi dan boleh bersembunyi daripada siasatan sekiranya mereka terbabit dengan gejala tersebut,” katanya. – 23 April 2017.