Lelaki Parah Ditembak

Seorang lelaki parah akibat ditembak dipercayai oleh tiga individu dalam kejadian di Kampung Permatang Pasir, Bachok semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan di bahagian bahu sebelah kanan manakala dua rakannya yang berada dalam sebuah kenderaan dipercayai melarikan diri.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Assisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa kini dilaporkan kritikal dan mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurutnya, hasil maklumat awal, mangsa dipercayai menaiki kereta Proton Waja telah dikejar sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam dipercayai dinaiki dua atau tiga suspek sebelum melepas tembakan.

“Kita telah mengenalpasti suspek dan usaha memburu mereka sedang dilakukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,” katanya. – 23 April 2017.