Tok Pa Paling Sesuai – TPM

Kekalahan UMNO di Kelantan sejak tiga dekad yang lalu disebabkan perpecahan sesama sendiri, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu menyeru kepimpinan UMNO negeri itu mengukuhkan kedudukan dengan melupakan sengketa sesama sendiri sekali gus menawan kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

“Bersatu hatilah, bagi memastikan gelombang merah dapat membirukan Kelantan.

“Kekalahan kita tiga dekad ini bukan kerana kelemahan atau kita tidak kuat tetapi kerana perpecahan sesama kita ,” katanya.

Beliau berucap pada Malam Gelombang Merah anjuran Himpunan Siswazah Kelantan ((HIMSAK) di Menara Berkembar Bank Rakyat di ibu negara.

Hadir sama, Penaung HIMSAK, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid, menamakan Mustapa sebagai tokoh paling sesuai untuk menerajui kepemimpinan bagi menawan semula Kelantan pada PRU akan datang.

Katanya, Mustapa adalah contoh pemimpin yang terbaik dari Kelantan yang disenangi semua pihak.

“Inilah masa yang sesuai… siapa lagi jika bukan Tok Pa. Beliau yang paling sesuai dan ramai kepemimpinan yang lain boleh terus memberikan sokongan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak rakyat Kelantan menukar kepemimpinan di negeri itu bagi membolehkan BN berbakti kepada mereka.

“Inilah masa yang sesuai untuk rakyat Kelantan membuat perubahan kepada kepemimpinan negeri itu bagi lima tahun akan datang,” – 23 April 2017.