Kerajaan Kelantan Rakam Ucapan Tahniah Sempena Pertabalan Sultan Muhammad

Kerajaan PAS Kelantan merakam setinggi-tinggi tahniah di atas pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XV di Istana Negara hari ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, seluruh rakyat memanjatkan rasa syukur dan bangga dengan pertabalan tersebut serta berharap Seri Paduka dapat menaungi negara dengan penuh adil.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas istiadat pertabalan Sultan Muhammad sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

“Saya serta seluruh kepimpinan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh dan berdoa agar Sultan Muhammad sentiasa dibawah lembayung rahmat Allah untuk memerintah dengan penuh kesempurnaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, seluruh rakyat secara umumnya sudah mengetahui bahawa Seri Paduka amat mengutamakan tuntutan agama.

“Semasa menerajui Kelantan, istana sentiasa dibuka untuk sekalian rakyat jelata agar mereka dapat mendengar kuliah agama, mengerjakan solat Tarawih, Qiamullail khususnya pada bulan Ramadan. Ini adalah suatu keunikan yang ada pada Seri Paduka,”

Sultan Muhammad V hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia telah mempunyai ketua negara yang baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.

Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lepas, bagi menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh tersebut.

Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – 24 April 2017.