MARA Ambil Keterangan Annuar

MARA hari ini mengambil keterangan Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan itu hadir di bangunan MARA kira-kira pukul 10.29 pagi.

Wakil media yang berkumpul di lobi bangunan tersebut sejak pukul 10 pagi bagaimanapun tidak dibenarkan naik ke pejabat Mara.

“Kita tunggu sahaja nanti, tak tahu sama ada mereka nak buat sidang media atau tak,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Pada 31 Januari lepas, MARA menggantung tugas Annuar sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar sebelum ini bagaimanapun menafikan terbabit dalam sebarang salah guna kuasa berhubung keputusan PMB dan UniKL menaja pasukan TRW.

Selain itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan telah memanggil sembilan individu termasuk Annuar sendiri bagi memberi keterangan berhubung isu itu pada awal Februari lalu. – 25 April 2017.