Sekolah Pondok, SMAR Dan Tahfiz Terima Peruntukan RM80 Juta

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz.

Belia berkata, peruntukan itu sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2017 yang lalu bertujuan memperkasa dan memperkukuhkan institusi pendidikan agama ke arah lebih cemerlang.

“Dari jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menyelaras dan membangunkan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), ia merupakan kali pertama peruntukan seumpamanya diberikan kerajaan dalam sejarah pendidikan tahfiz negara.

“Jika itu hasrat ibu bapa (menghantar anak ke sekolah tahfiz), maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menentukan ia bukan sahaja pilihan ibu bapa tetapi satu pilihan yang dapat melahirkan insan-insan yang cemerlang.

“Sebab itu, saya mengambil keputusan meluluskan peruntukan tersebut untuk menggalakkan DPTN yang digubal boleh menentukan garis panduan supaya pembangunan pendidikan tahfiz menjadi lebih tersusun dan bersistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampian peruntukan itu di Seri Perdana.

Majlis penyerahan peruntukan membabitkan 819 penerima mewakili sekolah pondok, SMAR dan institusi tahfiz dari seluruh negara itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha. – 25 April 2017.