Kementerian Kesihatan Tunggu Laporan Kematian Mohamad Thaqif Amin

Kementerian Kesihatan menunggu laporan berhubung punca kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Ghaddafi di Hospital Sultan Ismail petang ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh mengenainya termasuk punca kematian secepat mungkin sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Jika laporan penuh bedah siasat, mungkin ambil masa dua minggu tetapi punca secara kasar boleh diketahui dengan cepat,” katanya kepada media hari ini.

Mohamad Thaqif yang dipotong kedua belah kakinya Jumaat lalu akibat jangkitan kuman meninggal dunia hari ini.

Bapa Allahyarham, Mohd. Ghaddafi Mat Karim mengesahkan, Mohd. Thaqif Amin meninggal dunia di Hosital Sultan Ismail jam 2.05 petang tadi.

Difahamkan, Allahyarham sepatutnya menjalani pembedahan memotong tangan kanannya pagi tadi kerana jangkitan kuman namun terpaksa ditangguhkan kerana keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail dua minggu lalu selepas didakwa disebat oleh seorang pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi itu. – 26 April 2017.