Selangor, Pulau Pinang Warta Haram Merokok

Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberitahu, hanya Selangor dan Pulau Pinang yang telah mewartakan keputusan pengharaman merokok di negeri masing-masing.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, Selangor bertindak demikian pada 1995 manakala Pulau Pinang pada 2004.

“Kedua-dua negeri itu mengambil langkah tersebut berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 23 Mac 1995.

“Muzakarah itu telah membincangkan isu merokok daripada pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana ia memudaratkan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja, pada Persidangan Dewan Negara.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak berkaitan untuk memainkan peranan masing-masing supaya pandangan fatwa tersebut dipatuhi. – 26 April 2017.