Jangan Cepat Menghukum Institusi Pondok, Tahfiz

Orang ramai digesa supaya tidak membuat kesimpulan melulu dan menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak berhubung kematian pelajar Maahad Tahfiz di Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siasatan kes tersebut masih berjalan, jadi adalah tidak adil jika orang ramai cuba menuding jari menyalahkan pihak tertentu terutama institusi pondok dan tahfiz.

“Rakyat Malaysia jangan jadi ketua penyiasat, pendakwa raya dan hakim dalam masa sama hanya berdasarkan fakta yang disebar luas dan ditular menerusi media sosial.

“Sedangkan perkara ini masih dalam siasatan.

“Jika siasatan belum selesai kenapa kita mahu menjatuhkam hukuman? Adalah pramatang untuk kita menyalahkan institusi pondok dan tahfiz atau sesiapa sahaja sekiranya siasatan belum selesai,” katanya.

Mohd. Thaqif disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Akhbar sebelum ini melaporkan kedua-dua belah kaki kanak-kanak itu yang dikatakan dipukul pembantu warden asrama telah bertukar lebam akibat dijangkiti kuman.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong sehingga paras betis setelah dijangkit kuman dan darah beku.

Susulan kematian Mohd. Thaqif, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh. – 27 April 2017.