Tidak Wajar Pertikai Usaha Kerajaan Tingkatkan Syiar Islam

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif kerajaan menyediakan peruntukan tinggi setiap tahun bagi memartabatkan institusi agama Islam di negara ini tidak wajar dipertikai mana-mana pihak.

Tegas beliau, usaha tersebut adalah selaras dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

“Ada yang mempertikaikan jumlah peruntukan sejak kebelakangan ini. Mereka harus hormat apa yang terkandung dalam Perlembagaan seperti Islam sebagai agama rasmi negara.

“Dan ini adalah punca kuasa kepada kerajan Persekutuan untuk membelanjakan apa sahaja amaun yang dirasakan perlu untuk meneruskan agenda memartabatkan agama Islam.

“Antara usaha itu termasuklah membayar imbuhan kepada imam dan guru agama,” katanya ketika menghadiri perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Balas Islam Lundang.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Dalam ucapan beliau, Asyraf Wajdi memberitahu, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperuntukkan sebanyak RM549 juta bagi membiayai aktiviti memakmurkan masjid dan pendidikan Islam di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM75 juta diperuntukkan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membayar imbuhan imam, elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta guru takmir.

“Selain itu, sebanyak RM529,000 diperuntukkan secara one-off untuk membayar imbuhan kepada bilal dan siak di Kelantan pada tahun ini,” katanya. – 27 April 2017.