Hari UMNO Peringkat Kelantan Disambut Besar-Besaran 

Sambutan Hari UMNO Ke-71 peringkat Kelantan yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 4 Mei depan dibuat secara besar-besaran melibatkan kira-kira 14,000 ahli parti itu di seluruh negeri ini. 

Sambutan selama empat hari tersebut bakal diisi dengan pelbagai acara seperti larian, ceramah, kayuhan dan aktiviti kebudayaan.

Acara utama iaitu larian bendera dijadual berlangsung selama tiga hari bermula di Tumpat dan berakhir di Pasir dengan penyertaan kira-kira 1,000 ahli dari setiap bahagian.

Setiausah Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat berkata, sambutan tersebut bertujuan mengajak ahli menghayati perjuangan UMNO dan menyuntik semangat supaya mereka terus setia bersama parti

“Pada hari keempat, penyerahan bendera UMNO kepada Badan Perhubungan UMNO Terengganu dijadual berlangsung di Pasir Puteh,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal sambutan Hari UMNO Ke-71 hari ini.

Menurut Hanafi, semua acara tersebut adalah percuma dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat  menyertainya selain tiada had umur.

Beliau turut memberitahu, pada sambutan Hari UMNO Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 11 Mei depan, UMNO Kelantan merancang membawa seramai 5,000 ahlinya ke sana. – 29 April 2017.