Abdul Hadi Ucap Terima Kasih Kepada Kerajaan BN

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memberi laluan kepada PAS membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63 di Kedah hari ini beliau menegaskan, PAS kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan pihak yang menentang Islam.

“Begitu juga dengan pihak yang menyokong penentangan perjuangan Islam, kita tidak akan bersetuju.

“Ada yang menerima pendekatan ‘agree to disagree,’ tapi bagaimana kita hendak bersetuju dengan kumpulan yang melawan Islam?

“Tetapi kita berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi laluan kepada RUU355 dan sesungguhnya kerjasama ini tidak akan dilupakan,” katanya.

Beliau berkata, rakaman ucapan terima kasih itu bagaimanapun bukan bermakna PAS dan UMNO akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Seperti saya jelaskan sebelum ini, kerjasama (dengan kerajaan) boleh dilaksanakan atas perkara yang baik dan kebajikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang itu juga mengulangi kembali amarannya kepada pihak yang cuba mempermainkan agama Islam yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berasa terhadap sikap dan akhlak murahan segelintir ahli Parlimen termasuk yang beragama Islam apabila melaungkan perkataan kurang ajar dan biadap ketika pembentangan RUU355 dibuat,” katanya. – 1 Mei 2017.