Belajar Bahasa Inggeris Percuma

Kementerian Kewangan melancarkan fasa kedua Bahasa Inggeris 1Malaysia (BI1M) selepas program yang menawarkan kelas percuma kepada orang ramai di seluruh negara tahun lalu tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah, program tersebut akan bermula Jun ini dengan sasaran penyertaan lebih 6,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kata beliau, program dengan kerjasama sebuah badan, Sols 24/7 tersebut menelan belanja RM4 juta dan diadakan di kesemua 15 buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta Kolej-Kolej Komuniti di seluruh negara.

“Beberapa penambahbaikan dibuat bagi memastikan objektif program iaitu meningkatkan tahap penguasaan perbualan dalam bahasa Inggeris para peserta tercapai dalam tempoh enam bulan.

“Antaranya ialah menggunakan modul baharu dan menambah bilangan kelas dari pagi hingga malam bagi memastikan para peserta dapat hadir mengikut masa sendiri,” katanya selepas melancarkan program BI1M Fasa Kedua di UTC Kota Bharu.

Dalam pada itu, Mohd. Irwan berkata, bagi melaksanakan BI1M fasa kedua tersebut, pihaknya menggunakan khidmat sejumlah 75 tenaga pengajar yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk warga asing.

“Bagai fasa kedua ini, pendaftaran telah pun dibuka sehingga hujung bulan ini dan kelas akan bermula awal bulan depan.

“Jika bilangan penyertaan melebihi sasaran 6,000, kami tidak akan tolak mana-mana peserta sebaliknya akan menambah bilangan kelas,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengalu-alukan mana-mana individu seperti pesara guru atau lepasan universiti berkebolehan berbahasa Inggeris dengan baik untuk menjadi tenaga pengajar BI1M.

Orang ramai berminat menyertai BI1M boleh mendaftarkan nama masing-masing di www.BI1M.my atau mendapatkan maklumat terkini program di laman sosial Facebook BI1M. – 1 Mei 2017.