PAS Jangka PRU14 September Ini

PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan pada September ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, jangkaan itu berdasarkan persiapan yang telah dilakukan oleh semua parti-parti bertanding sekarang ini.

“Paling awal kita (PAS) jangkakan PRU akan diadakan pada September ini dan jika tidak ia akan diadakan sama ada awal tahun depan atau selewat-lewatnya pada Jun,” katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-63 hari ini.

Beliau berkata, PAS sentiasa bersedia bagi menghadapi PRU14 dengan menggerakkan seluruh jentera parti di seluruh negara untuk memperkasakan strategi menghadapi lawan.

Kata Mustafa, pihaknya telah menjelajah ke seluruh negara bagi melihat persiapan parti di setiap negeri bagi PRU14 selain mengarahkan mereka menyerahkan senarai nama calon untuk disenarai pendek.

Katanya, susunan jentera parti sekarang ini amat penting selain calon yang mampu menarik sokongan pengundi untuk mengundi parti berteraskan Islam itu.

“Pengalaman lampau PAS dalam menghadapi pilihan raya sudah cukup untuk mematangkan kita terutama apabila berhadapan dengan isu perpecahan,” katanya. – 1 Mei 2917.