Polis Akan Muktamadkan Siasatan Kes Kematian Mohamad Thaqif Amin

Polis akan memuktamadkan siasatan berhubung kes kematian pelajar madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kertas siasatan mengenai kes tersebut akan diserahkan kepada timbalan Pendakwa raya (DPP) tidak lama lagi.

“Kita baru saja terima kertas-kertas siasatan dari pejabat DPP, kerana kita perlu menambah lebih banyak butiran.

“Sebaik sahaja kita masukkan fakta-fakta kes, kita akan menghantar semula kertas-kertas ini kepada pejabat DPP untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, dimasukkan ke hospital pada 19 April lalu berikutan didakwa dipukul pembantu warden madrasah berkenaan empat minggu sebelum itu.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.

Jangkitan itu merebak ke tangan kanannya, yang dijadual turut akan dipotong.

Bagaimanapun, prosedur tersebut terpaksa dibatalkan kerana denyutan nadi dan keadaan mangsa tidak stabil.

Mangsa meninggal dunia pada pukul 2.05 malam 26 April.

Pembantu warden yang merupakan bekas banduan direman sehingga 3 Mei. – 1 Mei 2017.