Landasan KLIA Ditutup

Satu landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan ditutup berikutan tayar pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengempis semasa mendarat.

Dalam satu kenyataan syarikat penerbangan itu hari ini berkata, penutupan itu akan berlaku sehingga diberitahu kelak.

“Dua tayar penerbangan Malaysia Airlines MH726 dari Jakarta hari ini mengempis selepas mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 7.13 pagi.

“Landasan 2 di KLIA akan ditutup sehingga diberitahu kelak,” kata syarikat penerbangan itu.

Kata kenyataan itu, MAS akan menyiasat punca kejadian yang berlaku terhadap pesawat Boeing 738.

Sementara itu, penumpang dan anak kapal selamat turun dari pesawat dan dipindahkan ke terminal dengan bas.

Katanya, MAS memberi jaminan bahawa keselamatan menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu dan melahirkan rasa kesal atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada penumpang. – 2 Mei 2017.