Larian Bendera UMNO Hari Kedua Diteruskan Hari Ini

Larian bendera sempena Hari UMNO Ke-71 peringkat negeri Kelantan bagi hari kedua diteruskan hari ini membabitkan jarak sejauh tiga kilometer.

Larian melibatkan 500 peserta itu bermula di bangunan UMNO negeri sehingga ke Sungai Keladi, Pengkalan Chepa dan diketuai oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail.

Bendera UMNO itu diserahkan kepada wakil bahagian Pengkalan Chepa.

Rosmadi berkata, larian itu sebagai tanda persefahaman yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO.

“Larian yang dibuat pada hari ini adalah sejauh tiga kilometer dan mengambil masa lebih kurang setengah jam sebelum bendera UMNO bertukar tangan,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, di Pengkalan Chepa, Naib Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Wan Shahrul Azwan Wan Abdul Aziz menerima bendera tersebut sebelum meneruskan larian ke Bachok pada hari ketiga esok.

UMNO bahagian Pengkalan Chepa akan memulakan lariannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti sejauh lima kilometer menuju ke pejabat UMNO Bachok.

“Dijangkakan seramai 500 ahli UMNO Pengkalan Chepa akan memeriahkan larian ini,” kata Wan Shahrul Azwan. – 2 Mei 2017.