Lima Sektor Lestarikan Perdagangan Malaysia – Bahrain

Malaysia dan Bahrain mempunyai potensi besar dalam mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala kedua-dua negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi melestarikan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara itu lima sektor dikenal pasti untuk kerjasama selanjutnya.

“Lima sektor itu ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Perkhidmatan Perbankan dan Kewangan terutama tentang perbankan Islam, Pelancongan, Logistik dan pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Perindustrian, Perdagangan dan Pelancongan Kerajaan Bahrain, Zayed R. Alzayani di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Zayed dimaklumkan, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Negara Kerjasama Teluk (GCC) yang tertangguh sejak 2011 dijangka akan diaktifkan semula tidak lama lagi.

Sementara itu, Malaysia dan Bahrain akan menandatangani persefahaman (MoU) dalam bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

MoU tersebut akan menjadi asas bagi kedua-dua negara dalam pembangunan PKS dan industri.

Pada 2016, Bahrain mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam perdagangan dengan Malaysia iaitu 97.6 peratus. – 2 Mei 2017.