Semak Status Bankrap Melalui Aplikasi MyDI

Orang ramai boleh membuat carian tentang status bankrap di telefon pintar melalui aplikasi MyDI mulai 11 Mei ini.

Aplikasi itu telah dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

“Aplikasi ini boleh dimuat turun mulai 11 Mei. Jadi selepas ini, tidak perlu pergi ke Jabatan Insolvensi untuk memeriksa status (bankrap),” katanya.

Azalina berkata, kemudahan tersebut membolehkan majikan memeriksa status kebankrapan bakal pekerja dan institusi yang memberi pinjaman kewangan manakala ibu bapa pula boleh memeriksa status bakal menantu.

Katanya, aplikasi MyDI merupakan fasa pertama perubahan Akta Kebankrapan.

“Pada fasa kedua selepas ini masyarakat hanya perlu isi borang bagi pelepasan (daripada status bankrap) secara online dan hanya pergi ke Jabatan Insolvensi untuk pengesahan selepas memenuhi semua syarat,” katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan 2016) dijangka mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bulan depan dan bakal dikenali sebagai Akta Insolvensi.

Katanya, pindaan itu juga mewujudkan ‘mekanisme penyelamat’ dan dengan itu pekerja awam dan swasta yang berdepan masalah bankrap boleh datang ke Jabatan Insolvensi untuk dapatkan ‘pakej penyelamat’ itu.

Mengenai jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap, beliau berkata, setakat ini jumlahnya adalah 292,000.

Manakala statistik kebankrapan penjawat awam dari 2013 hingga Mac tahun ini ialah 3,547 orang,” katanya. – 2 Mei 2017.