Sultan Muhammad V Rasmi Pameran Raja Kita

Sultan Muhammad V berkenan merasmikan Pameran Raja Kita di Muzium Diraja di Kuala Lumpur sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pameran itu dibuka kepada orang ramai akan berakhir pada 4 September ini.

Pelbagai koleksi peribadi Sultan Muhammad V termasuk Al-Quran dan rehal, set sukan menyelam, peralatan memanah, pelana kuda sukan polo dan basikal riadah baginda disajikan dalam pameran tersebut.

Selain barangan peribadi Seri Paduka, manuskrip seperti Misa Melayu, Taj Al-Salatin dan Sejarah Negeri Kelatan yang asal turut dipamerkan.

Pameran Raja Kita itu adalah kali kedua diadakan di Istana Negara lama yang kini dikenali sebagai Muzium Diraja.

Pameran pertama diadakan pada 2012 bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan pada 13 Disember 2016 bagi menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan baginda pada tarikh tersebut.

Pada 24 April lepas baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun. – 2 Mei 2017.