Stok Ikan Musim Perayaan

Golongan nelayan dan pengusaha industri perikanan digalakkan supaya mewujudkan lebih banyak stok simpanan ikan bagi memastikan bekalan makanan itu cukup menjelang Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, ia adalah langkah berjaga-jaga yang perlu digerakkan mulai sekarang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.

“Langkah proaktif sebegini perlu dilakukan kerana saya dimaklumkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, keadaan hujan lebat dan ada kalanya cuaca panas menyebabkan jumlah tangkapan ikan berkurangan.

“Jadi, dengan menambah stok simpanan ikan pada waktu kemuncak tangkapan ikan adalah antara usaha yang boleh dibuat golongan nelayan dalam membantu kerajaan memastikan bekalan sentiasa ada sepanjang masa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke kampung nelayan Sekinchan, dekat sini, Selasa malam.

Beliau berkata, dalam sesi pertemuan itu juga, pihaknya turut menggalakkan golongan nelayan dan pengusaha nelayan laut dalam supaya mengguna pakai teknologi penyejukbekuan “Individual Quick Freezing” (IQF) sebagai kaedah alternatif menyimpan lebihan tangkapan ikan.

Katanya, dengan cara itu, bekalan ikan secara sejuk beku segar dapat disalurkan kepada pengguna pada waktu hasil tangkapan berkurangan bagi menjadikan harga sumber laut itu lebih berpatutan dan stabil.

Teknologi IQF dari Jepun yang kini digunakan Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) itu mampu menyejukbekukan sehingga 600 kilogram ikan bagi tempoh sejam berbanding empat jam jika menggunakan sistem sedia ada tanpa merosakkan kualitinya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai langkah kerajaan untuk memastikan keselamatan nelayan khususnya di laut dalam sentiasa terjamin, Irmohizam berkata, pihak terlibat disaran berdaftar dalam aplikasi “K3M” (Kesedaran Keselamatan Maritim) dan program Rakan Maritim.

“Program itu adalah nilai tambah kepada usaha kerajaan menangani isu-isu penculikan nelayan atau ditimpa musibah ketika di laut yang mana kita mahu golongan ini faham bahawa mereka sentiasa dijaga dan dilindungi.

“Setakat ini, sambutan pendaftaran dilihat menggalakkan namun kita harap golongan nelayan, pengusaha bot nelayan dan pihak yang terlibat dengan aktiviti laut dapat menyertai program ini secara sukarela,” katanya.

Aplikasi K3M yang wujud hasil usahasama antara Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan LKIM itu mampu memperluaskan interaksi dengan kumpulan sasar bagi menjalin hubungan kerjasama lebih baik dengan komuniti nelayan.

Aplikasi itu juga mewujudkan saluran komunikasi antara agensi penguat kuasa agar maklumat penting dapat disalurkan dengan pantas selain memudahkan agensi penguat kuasa memberi bantuan kepada komuniti maritim yang dalam kecemasan. – Bernama, 3 Mei 2017.