Tindakan FMLLP Tidak Wajar

Persatuan Biola Sepak Kelantan (KAFA) menyifatkan tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang memotong enam mata ke atas empat pasukan termasuk Kelantan sebagai tidak wajar.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md. Nor berkata, ia kerana pemain yang bertungkus lumus bermain bagi memastikan mata atau kemenangan kepada pasukannya.

“Kita memandang serius perkara ini, kerana ini adalah soal maruah pemain dan penyokong pasukan yang bersusah payah berusaha untuk mendapatkan mata,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pemotongan enam mata keatas Kelantan ekoran kegagalan melunaskan tunggakan gaji melibatkan barisan pemain TRW musim 2015 dan 2016.

Kelmarin FMLLP dilaporkan bertindak drastik dengan memotong enam mata terhadap empat pasukan berkuatkuasa serta merta ekoran gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Empat pasukan terbabit ialah dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team manakala dua lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perlis dari Liga Perdana.

 

Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama pemangku presiden dan penaja utama musim 2017 berhubung perkara tersebut. – 3 Mei 2017.