Tujuh Kedai Di Padang Garong Terbakar

Tujuh unit rumah kedai di Jalan Padang Garong, Kota Bharu musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 1 pagi itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, operasi memadam api melibatkan 40 anggota daripada BBP Kota Bharu, Tunjong, Kota Darulnaim, Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua premis sudah 80 peratus terbakar dan operasi memadam kebakaran segera dijalankan.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.39 pagi dan operasi tamat jam 5.38 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan. – 3 Mei 2017.