Jurutera Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Rasuah RM40,468.03

Seorang jurutera perancang dan pembinaan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 16 tuduhan rasuah berjumlah RM40,468.03.

Mohd. Asrul Hisyam Setapa, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Adli Abd. Ghalib terhadap semua tuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan wang tunai, jam tangan, telefon bimbit dan peralatan pembinaan daripada dua kontraktor bagi dorongan syarikat itu menjalankan projek di sekitar Kota Bharu antara 15 Mei hingga 22 Ogos tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai jumlah suapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Adli menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula. – 4 Mei 2017.