Kelantan Mahu Cabar Hukuman FMLLP

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak menolak kemungkinan untuk mencabar hukuman dikenakan oleh Football Limited Liability Partnership (FMLLP) terhadap Kelantan yang dipotong enam mata dan dihalang mendapatkan pemain baharu.

Penaja utama The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau meminta KAFA melantik peguam untuk menyelesaikan isu tersebut terutama perkara berkaitan pendaftaran pemain baharu menerusi saluran undang-undang.

Selain itu katanya, KAFA juga diminta mempertimbangkan segala pilihan yang ada termasuk membuat rayuan terhadap hukuman pemotongan mata.

“KAFA akan lawan, saya sudah beritahu KAFA supaya lantik peguam dan lawan. Sanna Nyasi akan tetap didaftarkan sebagai pemain baharu menggantikan Alessandro Celin.

“Kalau kita boleh buktikan semua menepati peraturan namun Kelantan masih dihalang mendaftar pemain baharu, kita akan bawa FMLLP ke mahkamah,” katanya.

Pasukan Kelantan ditimpa malang berganda apabila bukan sahaja dikenakan pemotongan enam mata dalam Liga Super malah dilarang mendapatkan pemain baharu pada pasaran perpindahan yang dibuka 15 Mei depan.

Tindakan tersebut diputuskan oleh FMLLP kerana TRW dikatakan gagal menyelesaikan masalah hutang dan tunggakan gaji pemain mereka.

Annuar turut menjelaskan Kelantan tidak sepatutnya dihalang mengambil pemain baharu kerana pihak yang membawa masuk pemain tersebut ialah Al-Hamra Group iaitu penajaa utama TRW, bukan KAFA sendiri.

Katanya, dalam sukan bola sepak, terdapat peraturan ‘sporting just cause’ yang membolehkan pasukan menamatkan kontrak pemain yang sudah terlalu lama tidak dapat beraksi agar pasukan berkenaan tidak menanggung kerugian.

“Ikut kontrak, kita perlu beri satu bulan notis dan pampasan selama dua bulan kepada Celin. Dia sudah pun terima dan ejen sama bersetuju menggantikan dia dengan pemain lain tanpa sebarang kos tambahan. Kenapa jadi isu? Lain kali tanyalah dulu,” katanya. – 4 Mei 2017.