Ketua Hakim Syarie Buat Laporan Polis Terhadap Rafizi

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahammad Ibrahim hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa keterlibatan hakim syariah dalam gejala rasuah.

Beliau membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Turut membuat laporan yang sama adalah Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Ibrahim Ideris.

Mahammad, yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu berkata, Rafizi pada program Parlimen ‘olok-olok” pada 10 April lepas telah mengeluarkan kenyataan mendakwa rasuah dalam kalangan hakim mahkamah syariah lebih tinggi berbanding mahkamah sivil.

Menurutnya, Rafizi telah mengeluarkan kenyataan bahawa pindaan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang tidak menaikkan gaji hakim mahkamah syariah akan meningkatkan risiko pengambilan rasuah dan salahguna kuasa dalam kalangan hakim mahkamah syariah.

Beliau berkata, kenyataan itu berunsur fitnah dan mampu mencemar dan mengikis kepercayaan terhadap institusi kehakiman syariah di negara ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan. – Bernama, 4 Mei 2017.