PAS Berani, DAP Kecewa

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, PAS boleh dianggap berani kerana sudi ‘bersahabat’ dengan DAP biarpun mengetahui sifat parti itu mendukung sosialisme.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan pendirian UMNO yang menolak DAP sejak awal penubuhan sehingga kini kerana latar belakangnya selain turut dikatakan mempunyai kaitan dengan PAP.

“Kenyataan DAP yang mendakwa PAS sesat dalam perjuangan merupakan gambaran kekecewaan parti itu kerana gagal memerangkap PAS untuk terus menjalinkan kerjasama dengan mereka. Saya fikir DAP patut cermin diri dulu.

“Itu kata-kata orang yang kecewa kerana dia mahukan PAS, tetapi PAS menolak dia. Saya ucap tahniah kepada PAS kerana berani mengambil risiko cuba berbaik dengan DAP sebelum ini walaupun sudah mengetahui sejarah parti itu.

“Tidak seperti UMNO yang sejak dulu, kini dan selamanya dengan tegas menolak DAP selagi mereka mendukung dasar sosialis dan pendekatan politik perkauman, ditambah dengan DNA PAP yang ada pada mereka dan sejarah hitam parti itu,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama menunjukkan parti itu ‘sesat’ dalam berpolitik dan situasi tersebut hanya akan menguntungkan BN.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, DAP kecewa kerana agendanya mahu memerangkap keseluruhan ‘badan’ PAS gagal, sebaliknya hanya memperoleh ‘ibu kaki’ yang kemudiannya menjadi PAN.

“Tahniah kepada PAS kerana telah memotong ibu kaki itu bagi menyelamatkan ‘betis’ dan ‘paha’ mereka. Saya yakin tindakan itu tepat kerana PAS lebih sihat sekarang,” katanya. – 3 Mei 2017.