Rasuah: Pasangan Suami Isteri Direman Lima Hari

Sepasang suami isteri direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah RM500,000.

Mereka direman sehingga 8 Mei ini selepas Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd. Rahman membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pasangan tersebut.

Suspek lelaki, 54, merupakan pengurus besar sebuah anak syarikat Prasana Malaysia Bhd ditahan kerana didakwa menerima rasuah bernilai RM500,000.

Dia ditahan pada pukul 6.30 petang semalam di pejabat SPRM Putrajaya.

Isteri suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.

Suspek dipercayai telah mengambil wang rasuah kira-kira RM500,000 sejak tahun 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan di bawah penyeliaannya.

Menurut sumber, wang rasuah yang diterima juga telah dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak tahun 2013. – 4 Mei 2017.