UMNO Lebih Besar Daripada Namanya

Larian Bendera sempena Ulang Tahun Ke-71 UMNO merupakan simbolik kepada komitmen dalam mewarisi perjuangan membina negara bangsa dari satu generasi kepada generasi lain.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu diharap dapat menyuntik semangat orang ramai, khususnya generasi muda untuk menghayati perjuangan tersebut yang tidak terhad kepada ahli UMNO semata-mata.

“Parti-parti lain hanya menjaga ahli mereka. Sebagai contoh, DAP untuk kelompok orang DAP, PKR hanya untuk orang PKR tetapi apa yang dilakukan UMNO, kesannya kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebab itu bagi saya, UMNO lebih besar daripada namanya. Kita bukan sahaja berjuang untuk 3.6 juta ahli UMNO malah berjuang untuk 30 juta rakyat Malaysia,” katanya.

Sambutan Hari UMNO ke-71 peringkat Kelantan bermula 1 Mei lalu disertai kira-kira 10,000 ahli UMNO dari 14 bahagian yang menjayakan dua acara utama iaitu Larian Bendera dan kayuhan basikal.

Kemuncak sambutan itu dijadual berakhir dengan penyerahan bendera UMNO oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada wakil Terengganu bertempat di Kampung Pachakan, Pasir Puteh hari ini. – 4 Mei 2017.