Empat Lagi UTC Akan Diwujudkan

Empat lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) bakal diwujudkan di empat negeri pada tahun ini, kata Pengarah Unit Strategik Nasional Kementerian Kewangan Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Beliau berkata, empat negeri terbabit adalah Negeri Sembilan, Perlis, Selangor dan Pulau Pinang.

“UTC di Ampangan, Negeri Sembilan dan Kangar, Perlis sedang dalam fasa pembangunan manakala UTC di Shah Alam, Selangor dan Pulau Pinang masih dalam peringkat perbincangan serta mengenal pasti tapak.

“Kita menjangkakan UTC di Ampangan dapat dibuka pada 15 Mei ini manakala UTC di Kangar pada Julai atau Ogos ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan delegasi Persidangan ”Delivering Services Through One-Stop” membabitkan 80 peserta dari 29 negara termasuk Kazakhstan, Belarus, Nepal, Rusia, Jerman, Kemboja, Denmark dan Slovakia, ke UTC Johor di Galleria@Kotaraya Johor Bahru hari ini.

Persidangan anjuran Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Dunia itu berlangsung di Singapura sejak Rabu lepas hingga hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata setakat ini, terdapat 18 UTC di seluruh negara yang merekodkan seramai 46 juta pengunjung sehingga Mac lepas dan kerajaan menerima banyak cadangan daripada Anggota Parlimen untuk mewujudkan UTC di kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, tahun ini kita menumpukan hanya empat UTC ini dahulu sebelum diperluaskan ke tempat lain,” katanya.

Menurut Aminuddin, kos mewujudkan UTC bergantung kepada bangunan yang dicadangkan kerajaan negeri dan agensi yang akan diletakkan di situ, namun, kebiasaannya antara RM15 juta dan RM50 juta. – 5 Mei 2017.