Permulaan Politik Matang PAS-BN – Abdul Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kehadirannya pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam sebagai permulaan politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut merakamkan ucapan terima kasih di atas undangan ke majlis tersebut.

“Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

“Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang dileraikan di perairan Pulau Kapas, semalam.

Menjawab kemungkinan timbul persepsi negatif pihak tertentu dengan kerjasama tersebut, Abdul HAdi berkata ia akan difahami oleh semua rakyat di peringkat akar umbi.

“Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

“Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ini warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik ‘hand brake’ dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Shabery berkata, beliau telah memaklumkan kerjasama Abdul Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Abdul Hadi).

“Insya Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin UMNO dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan politik tidak pernah membataskan soal kepentingan rakyat dan negara.

“Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

“Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan,” katanya. – 5 Mei 2017.