BN Tolak Calon Terlibat Rasuah

Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calonnya daripada individu yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, memang sudah menjadi amalan BN sejak sekian lama akan meneliti latar belakang sebelum mengangkat seseorang itu sebagai calon.

Beliau berkata, malah BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.

Katanya, BN tidak akan mengizinkan mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa menjadi calon.

“BN sudah buat sejak sekian lama, malah mereka (calon BN) diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu jadi (calon) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.

“Kita telah cadangkan supaya perkara ini dilaksanakan (bagi semua parti), tetapi pembangkang yang tak nak.

“Saya sendiri semasa mahu jadi wakil rakyat pada tahun 2004, kena isytihar harta yang saya ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga saya buat…semuanya kami isytihar.

“Kalau calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan jadi calon,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian KL Extravaganza @ Bandar Tun Razak dan Malaysian Supermotor Championship di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur hari ini.

Kelmarin, SPRM mengingatkan semua parti politik untuk tidak meletakkan calon yang memiliki latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah pada PRU akan datang. – 6 Mei 2017.