Lapan Pasukan Bakal Berentap Dalam Kejohanan Pesta Bola SIC OLDBOYS 2017

Lapan pasukan yang terdiri daripada bekas pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC) tahun 1983 hingga 1990 bakal berentap sama sendiri dalam acara kejohanan Pesta Bola Keluarga SIC OLDBOYS 2017 pada 13 Mei depan.

Pengerusi Penganjur Pesta Bola Keluarga SIC OLDBOYS 2017, Mejar (B) Naemat Sukor Mohamed berkata, kejohanan tersebut dianjurkan oleh Koperasi Bekas Pelajar Maktab Sultan Ismail 87 (KOSIC) dengan kerjasama SIC.

Beliau berkata, penaung bagi pesta bola ini ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk seri Mustapa Mohamed yang juga alumni SIC.

“Tok Pa (Mustapa) sentiasa mahukan ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar serta maktab itu sendiri terus subur.

“Justeru, ini satu permulaan ke arah matlamat itu selain untuk memupuk semangat kesukanan dan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan mereka,” katanya selepas majlis pengundian perlawanan kejohanan pesta bola tersebut malam tadi.

Beliau berkata, acara yang julung kali diadakan ini berkonsepkan ‘hari untuk keluarga’ dan bakal berlangsung selama satu hari di Padang Maktab Sultan Ismail pada 13 Mei iaitu hari Sabtu.

Beliau memberitahu, pasukan yang muncul juara akan membawa pulang sebuah piala beserta wang tunai yang akan disempurnakan oleh Mustapa pada sebelah petangnya.

Katanya, pelbagai acara menarik turut diadakan antaranya ‘food truck’, permainan untuk kanak-kanak (suppadupa), gerai pameran dan jualan cenderamata.

“Kami mengalu-alukan orang ramai terutamanya keluarga bekas pelajar terbabit keluar beramai-ramai bagi menyokong dan memeriahkan lagi kejohanan pesta bola itu nanti,” katanya.

Tambahnya, pihak penganjur bercadang untuk menjadikan kejohanan tersebut sebagai acara tahunan (bergantung kepada keadaan semasa) dengan menghimpun lebih banyak lagi pasukan. – 6 Mei 2017.