PI1M Untuk Kemudahan Rakyat, Bukan Tempat Burukkan Kerajaan

Orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) sebagai medium untuk memburukkan kerajaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, penubuhan pusat pusat berkenaan adalah untuk memberi liputan rangkaian telekomunikasi terbaik dan termurah kepada rakyat.

“Bayangkan Kerajaan Persekutuan terpaksa memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi menubuhkan sebuah pusat Internet 1M, tetapi ada sesetengah pihak yang sengaja menyalahgunakan kemudahan itu untuk tujuan tidak baik termasuk menghentam kerajaan.

“Menyedari hakikat itu, kementerian mula mengambil tindakan termasuk mengenakan kawalan ke atas kira-kira 600 pusat internet 1M di seluruh negara pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pusat Internet 1M Kampung Kalai, di Jeli hari ini.

Jailani berkata, orang ramai sepatutnya memanfaatkan kemudahan yang disediakan itu dengan sebaik mungkin termasuk bagi menjana ekonomi setempat menerusi perniagaan atas talian.

“Pelajar, peniaga, suri rumah, belia dan warga emas boleh datang ke pusat berkenaan dengan bayaran pendaftaran RM5 untuk melayari internet bagi memperoleh maklumat tepat dan terkini.

“Usahawan setempat boleh mempromosikan produk mereka dengan menggunakan kemudahan itu dan kita yakin ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila 800 pusat lagi bakal diwujudkan menjelang 2020,” katanya. – 6 Mei 2017.