Tidak Khianat Orang Melayu – Mahathir

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mengkhianati orang Melayu apabila membentuk pakatan dengan DAP.

Beliau berkata, langkah yang diambil untuk bekerjasama dengan pembangkang hanya kerana cinta kepada negara.

“Ramai orang Melayu marah bila saya untuk duduk di sebelah Lim Kit Siang dan begitu juga orang Cina, ramai yang tidak berpuas hati.

“Orang Cina berasa dikhianati oleh Lim dan orang Melayu rasa dikhianati oleh saya tetapi kami tidak mengkhianati sesiapa.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia dan kita hanya mahu negara ditadbir dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam kutipan dana anjuran pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah di Johor Bahru malam tadi.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri itu berkata, parti-parti pembangkang tidak boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan secara bersendirian.

Sebaliknya kata beliau, matlamat untuk menumbangkan kerajaan dalam pilihan raya umum nanti hanya akan tercapai sekiranya semua barisan pembangkang bekerjasama. – 6 Mei 2017.